dcsimg

Adakah pesakit CKD perlu mengehadkan atau melebihkan pengambilan protein? Bagaimana saya memilih protein yang berkualiti tinggi?

Protein adalah salah satu makronutrien penting yang diperlukan oleh badan untuk membina otot, membaiki tisu serta menguatkan ketahanan daripada penyakit. Malah, protein juga boleh digunakan sebagai sumber bahan api dalam badan. Buah pinggang memainkan peranan yang amat penting untuk mengumuhkan (menyingkirkan) bahan buangan protein selepas badan menyerap segala khasiat yang diperlukan olehnya. Dalam erti kata lain, pengambilan protein yang bertambah akan meningkatkan beban buah pinggang.

Apabila fungsi buah pinggang merosot, pengambilan protein harian perlu dipantau. Bagi orang-orang yang menghidap Penyakit Buah Pinggang Kronik (Chronic Kidney Disease atau CKD) dan yang belum melarat menjadi Kegagalan Buah Pinggang Peringkat Akhir (End Stage Renal Failure atau ESRF), atau memerlukan terapi penggantian renal, diet rendah protein mungkin bermanfaat. Diet rendah protein boleh membantu mengurangkan penghasilan toksin uremik atau bahan buangan metabolisme protein. Oleh sebab itu, diet rendah protein mungkin dapat membantu memperlahankan perkembangan CKD dengan mengurangkan beban buah pinggang. Keperluan protein berbeza mengikut saiz badan dan peringkat keterukan CKD. Perancangan menu yang sempurna adalah penting untuk semua pesakit yang mengamalkan diet rendah protein kerana pengambilan protein yang amat terhad mungkin menyumbang kepada malnutrisi atau masalah kekurangan zat makanan.

Diet rendah protein bukan bermaksud anda perlu mengelakkan pengambilan jenis-jenis protein tertentu. Jika anda menghentikan pengambilan daging merah atau makanan laut tetapi menggantikannya dengan ikan tanpa mengawal saiz sajian, ini tidak bermakna anda mengamalkan diet rendah protein. Bagi pesakit CKD yang belum menjalani dialisis, mereka lazimnya diberi diet rendah protein yang hanya membenarkan pengambilan 2 hingga 4 oz daging sehari (atau lebih kurang 2 hingga 4 saiz kotak mancis). Hakikatnya, pesakit CKD yang mengamalkan diet rendah protein masih boleh menikmati daging atau makanan laut yang mereka gemari dengan syarat mereka perlu mengawal saiz sajian.

Pengambilan protein seharusnya dilaraskan dengan sewajarnya apabila keadaan pesakit melarat menjadi ESRF atau apabila pesakit memerlukan dialisis. Jumlah protein yang diperlukan oleh pesakit Hemodialisis (HD) dan Dialisis Peritoneum Ambulatori Berterusan (Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis atau CAPD) lazimnya adalah dua kali ganda berbanding keperluan protein sebelum dialisis. Ini disebabkan oleh kebocoran protein yang berlaku semasa proses dialisis, dan pengambilan protein yang lebih tinggi penting untuk menggantikan protein yang hilang.

Selain memastikan kuantiti protein yang sesuai, jenis protein yang diambil juga penting. Untuk diet rendah protein dan diet tinggi protein, anda perlu memastikan sekurang-kurangnya 50% protein yang diambil adalah protein berkualiti tinggi. Sumber protein berkualiti tinggi mengandungi kesemua 9 jenis asid amino penting: fenilalanina, valina, treonina, triptofan, metionina, leusina, isoleusina, lisina dan histidina. Kesemua 9 asid amino penting ini adalah asid amino yang tidak boleh dihasilkan oleh badan dan hanya diperoleh melalui makanan. Kegagalan untuk mengambil sumber protein berkualiti tinggi akan meningkatkan risiko malnutrisi dan penguraian otot. Antara sumber protein yang disyorkan termasuk daging dan ayam/itik, ikan dan makanan laut, produk tenusu dan produk soya, namun ia hendaklah sentiasa diambil dalam kuantiti yang betul.

Untuk sumber protein tumbuhan, hanya protein soya dikategorikan sebagai sumber protein berkualiti tinggi yang mengandungi kesemua asid amino penting. Bagi mereka yang mengamalkan diet vegetarian, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana anda hanya perlu mempelbagaikan pengambilan protein berasaskan tumbuhan supaya anda memperoleh kesemua asid amino yang diperlukan untuk kesihatan badan. Walau bagaimanapun, pesakit CKD yang juga pengamal vegetarian mungkin berdepan cabaran untuk merancang pemakanan yang sesuai sekiranya mereka perlu mengamalkan diet rendah protein. Apabila pengambilan protein dihadkan, pesakit CKD vegetarian perlu memilih protein berkualiti tinggi dan mengambil saiz sajian yang betul sepertimana disyorkan. Protein soya adalah pilihan terbaik untuk pesakit CKD vegetarian yang mengamalkan diet rendah protein.

Kesimpulannya, keperluan protein oleh pesakit CKD adalah berbeza, bergantung pada peringkat CKD dan juga rawatan yang diterima. Pengambilan protein yang tidak mencukupi atau berlebihan boleh memudaratkan kesihatan. Sebagai contoh, pengambilan protein berlebihan oleh pesakit CAPD mungkin menyebabkan hiperfosfatemia, sejenis komplikasi akibat tahap fosfat berlebihan dalam darah yang mungkin menyumbang kepada penyakit tulang. Sebaliknya, pengambilan protein yang dihadkan secara keterlaluan pada pesakit CKD yang belum menjalani dialisis berpotensi mengakibatkan pengurangan berat badan yang mendadak dan penguraian otot yang mungkin mempercepatkan perkembangan CKD. Sila berbincang dengan doktor atau pakar pemakanan anda sebelum anda memulakan sebarang program diet bagi mencegah sebarang akibat yang tidak diingini.

Artikel disumbangkan oleh: Cik Lau Wai Pooi (Dietetik, Pusat Perubatan Universiti Malaya)

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Makan Sihat, Hidup Sihat