dcsimg

Pemakanan Sihat Semasa Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan penting yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia juga disambut sebagai perayaan tanda berakhirnya bulan puasa.

Jika anda mengunjungi rumah umat Islam pada Hari Raya Aidilfitri anda akan dapat merasai pelbagai jenis hidangan, kuih-muih dan minuman yang lazat. Kita dapat melihat pelbagai makanan enak seperti daging, ayam rendang, lontong, lemang, serunding dan makanan lain-lain yang dihidang semasa hari raya. Ada yang berkata, musim perayaan ini adalah masa yang sukar untuk mengelakkan diri dari makan makanan yang tinggi kandungan garam, gula dan lemak. Di musim perayaan ini, hidangan yang enak pastilah menjadi cabaran bagi sesiapa yang menghidapi penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang kronik.

Pemakanan yang seimbang adalah kunci untuk tabiat makan yang sihat. Langkah-langkah tertentu yang boleh di ambil termasuklah memastikan bahawa makanan yang disediakan dengan menggunakan makanan penggantian yang tertentu, seperti menggunakan lebih banyak rempah dan mengurangkan penggunaan garam, mengekalkan pengambilan protein yang ditetapkan oleh pakar pemakanan dan tidak makan berlebihan.

Ini adalah tips yang boleh membantu anda memantau pemakanan anda pada musim perayaan ini:-

PROTEIN

Sumber protein boleh didapati dari ayam, daging, ikan, telur, makanan laut dan kekacang. Kebanyakan makanan yang disediakan pada musim Aidilfitri seperti daging / ayam rendang, serunding, laksa, kuah kacang dan lontong yang dihidangkan dengan tempe, tauhu, udang dan sotong sambal. Hidangan ini mengandungi sumber protein yang tinggi.

  • Untuk pesakit predialysis buah pinggang kronik, mengurangkan pengambilan protein boleh melambatkan perkembangan penyakit buah pinggang kronik. Pakar pemakanan boleh membantu anda menentukan jumlah protein yang sesuai untuk anda.
  • Bagi pesakit Hemodialisis dan Peritoneal Dialisis, pengambilan protein yang lebih tinggi adalah diperlukan. TETAPI ingatlah bahawa kebanyakan hidangan ini tinggi dalam lemak (minyak & santan).
FOSFAT

Kebanyakan hidangan semasa Aidilfitri mengandungi fosfat yang tinggi. Ini adalah perkara penting yang perlu anda tahu sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri.

  • Makanan yang mengandungi santan atau kerisik seperti daging / ayam rendang, kuah lodeh dan mee kari  Jangan menghabiskan semua kuah. Pengambilan kuah separuh mangkuk boleh mengurangkan separuh pengambilan fosfat.
  • Kuah kacang yang dibuat daripada kacang tanah. Ia biasanya dimakan bersama dengan nasi impit atau sate  Jadi, janganlah menuang dengan banyak kuah kacang pada nasi Impit / sate, anda boleh mecelup nasi impit / sate ke dalam kuah yang diisi dalam mangkuk kecil semasa makan.
  • Mee rebus disediakan daripada bahan yang mengandungi fosfat yang tinggi seperti kacang dan kentang  Jangan menghabiskan semua kuah; hanya makan mee dengan bahan-bahan lain di dalam mee rebus.
  • Kandungan kuning telur yang tinggi dalam pelbagai kek, muffin dan cookies.
  • Minuman berkarbonat juga mengandungi fosfat yang tinggi. Anda boleh meminta air kosong sebagai minuman alternatif.
  • Mesti sentiasa membawa ubat pengikat fosfat bersama dan ingatlah untuk mengambil ia dengan hidangan utama anda.
  • Rancang pemakanan anda, dengan hanya mengambil 3 hidangan utama dan 2-3 snek.
GULA

Pengambilan gula yang tinggi akan meningkatkan paras glukosa darah bagi mereka yang menghidapi penyakit kencing manis. Tetapi bagi pesakit CKD yang tidak menghidapi penyakit kencing manis, adalah lebih baik jika anda boleh mengurangkan pengambilan gula. Ini adalah kerana paras glukosa dalam darah yang tinggi akan menyebabkan dahaga dan pengambilan cecair sukar dikawal.

  • Berhati-hatilah dengan pengambilan makanan pencuci-mulut, puding, kek, muffin dan pelbagai biskut yang mengandungi gula dan coklat yang tinggi.

Artikel disumbangkan oleh: Cik Lydianis Bt Bahari (Dietetik, Hospital Tuanku Jaafar)

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Makan Sihat, Hidup Sihat