dcsimg

Tanya Pakar


+ Hantar soalan anda dan pihak Panel akan menerbitkan maklumbalas di sini setelah mereka mempertimbangkannya

Bolehkah pesakit dialisis peritoneal minum kopi?

Ya, semua pesakit PD boleh minum kopi. Kopi adalah minuman yang kaya dengan Kalium (K+). Satu sudu makan (7g) serbuk kopi campur mengandungi 66mg Kalium (rujukan : Komposisi Zat Dalam Makanan Malaysia, edisi ke-4 1997). Kalium adalah senang dikeluarkan melalui sesi PD; kebanyakan pesakit PD tidak perlu mengelakkan minuman yang tinggi Kalium seperti kopi, kecuali mereka yang menghidapi paras kalium yang tinggi dalam darah.

Walau demikian, susu pekat manis dan susu sejat yang biasa ditambah dalam minuman kopi adalah tinggi dalam kandungan fosfat. Paras fosfat yang tinggi dalam darah boleh mengakibatkan tulang menjadi rapuh dan lemah, sakit-sakit sendi, kulit menjadi gatal-gatal dan iritasi dalam mata. 1 sudu makan (19g) susu pekat manis mengandungi 40mg fosfat manakala 1 sudu makan susu sejat (20g) mengandungi 43mg fosfat.

Mengikut rujukan National Kidney Foundation (NKF), semua pesakit PD mahupun HD perlu menghadkan pengambilan fosfat 800-1000mg sehari. Di samping itu, kopi juga merupakan sejenis minuman yang perlu diambilkira dalam jumlah cecair yang boleh diminum di mana penghadan pengambilan cecair adalah amat penting untuk semua pesakit PD.

Dengan itu, pesakit PD adalah dinasihatkan untuk menghadkan minuman kopi kepada 1 cawan sehari, supaya penghadan cecair dan juga fosfat boleh dicapai pada masa yang sama.

-Lau Wai Pooi
Pegawai Dietetik
Diterbitkan pada Mei 12, 2016

Ayah saya telah disahkan menghidap kegagalan buah pinggang peringkat akhir (ESRD). Adakah transplan buah pinggang merupakan pilihan yang lebih baik berbanding dengan dialisis? Apakah komplikasi/kesan sampingan yang mungkin dihadapi oleh penderma buah pinggang?

Ya, pemindahan ginjal merupakan pilihan rawatan yang terbaik untuk kegagalan ginjal tetapi bukan semua pesakit cukup sihat untuk menjalankan pembedahan tersebut dan ada risiko dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk penerima ginjal yang perlu dibincang dengan lebih lanjut lagi.

Kami perlu menentukan bahawa ayah anda selamat untuk menjalankan pembedahan pemindahan ginjal , terutamanya dari segi kardiovaskular. Kami juga perlu menentukan bahawa bakal penderma tidak mempunyai halangan dari segi kesihatan mereka dan juga samada kegagalan ginjal ayah kamu adalah dari penyakit tertentu yang mungkin diwarisi oleh adik beradik kamu dalam keturunan . Seperti diterangkan oleh doktor yang kamu telah berjumpa , selepas pendermaan ginjal, penderma mempunyai risiko dalam lingjungan 5% ke bawah bahawa pada masa depan tekanan darah mereka akan naik ataupun mereka akan mengalami kehilangan protin dalam kencing mereka . Untuk penderma dari kaum wanita yang ingin melahirkan anak , adalah disarankan supaya habis mendirikan rumah tangga dulu sebelum menderma ginjal.

Adalah disarankan supaya ayah anda dan juga ahli keluarga yang bakal penderma membuat temujanji untuk perbincangan dengan unit transplan dari salah satu daripada hospital yang menjalankan pemindahan ginjal di Malaysia iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, atau Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Nombor telefon klinik tersebut boleh diperolehi atas permintaan sekiranya berminat untuk meneruskan perbincangan. Selain daripada itu, anda juga boleh dapat informasi lanjut tentang pemindahan ginjal daripada:

Pusat Sumber Transplan Nasional
Tel: (03) 2694 2704/2705
Laman Web: www.dermaorgan.gov.my

-Dr Sunita Bavanandan
Pakar Nefrologi
Diterbitkan pada Ogos 7, 2015

Kedua-dua ibu bapa saya disahkan menghidap penyakit kegagalan buah pinggang (CKD) tahap 3.
i) Adakah pengambilan suplemen dari farmasi dapat membantu melambatkan kerosakan buah pinggang?
ii) Adakah penyakit kegagalan buat pinggang (CKD) penyakit keturunan?
iii) Adakah saya juga berisiko tinggi untuk mendapat penyakit kegagalan buat pinggang (CKD)? Uutuk makluman ayah saya menghidap darah tinggi dan ibu menghidap kencing manis.

i) Adakah pengambilan suplemen dari farmasi dapat membantu melambatkan kerosakan buah pinggang?
Pengambilan ubatan atau suplemen dari farmasi adalah tidak digalakkan bagi pesakit yang mengalami masalah penyakit buah-pinggang kronik. Ini memandangkan beberapa ubatan didapati toksik kepada buah-pinggang dan akan memudaratkan lagi keaadaan buah-pinggang. Suplemen herba juga tidak digalakkan dan harus dihindari. Sebelum mengambil sebarang ubatan alternatif, adalah dinasihatkan untuk berbincang dan mendapatkan nasihat pakar buah-pinggang terlebih dahulu.

ii) Adakah penyakit kegagalan buat pinggang (CKD) penyakit keturunan?
Apabila seseorang mengalami penyakit buah-pinggang kronik, tidak semestinya ada faktor keturunan. Terdapat penyakit buah-pinggang tertentu yang adalah disebabkan faktor keturunan seperti masalah genetik (Sindrom Alport, Polycystic kidney dsb). Lebih 60% punca penyakit buah-pinggang kronik di Malaysia adalah disebabkan oleh penyakit kencing manis. Penyakit kencing manis adalah penyakit keturunan.

iii) Adakah saya juga berisiko tinggi untuk mendapat penyakit kegagalan buat pinggang (CKD)? Uutuk makluman ayah saya menghidap darah tinggi dan ibu menghidap kencing manis.
Memandangkan ibu anda mengalami kencing manis, anda harus melakukan pemeriksaan kesihatan untuk memastikan samada anda tidak mengalami penyakit tersebut. Penyakit kencing manis adalah faktor utama yang boleh menyebabkan buah-pinggang rosak terutamanya di Malaysia.

-Dr Lily Mushahar
Pakar Nefrologi
Diterbitkan pada July 2, 2015

Saya adalah isteri kepada pesakit buah pinggang kronik (CKD) tahap 5. Bolehkah saya mengandung and apakah risiko untuk mengandung?

Seorang pesakit wanita yang mengalami penyakit CKD tidak digalakkan mengandung memandangkan kandungan akan memudaratkan keadaan fungsi buah-pinggang.

Di dalam kes ini, pesakit CKD adalah lelaki dan tiada kaitan atau risiko untuk isteri atau teman wanita beliau untuk mengandung jika isteri/teman wanita tiada masalah kesihatan. Walaubagaimanapun, hendaklah maklum bahawa tahap kesuburan pesakit lelaki tersebut boleh terganggu akibat penyakit CKD beliau dan sukar untuk mendapat anak.

-Dr Lily Mushahar
Pakar Nefrologi
Diterbitkan pada Jun 30, 2015

Saya pesakit buah pinggang kronik tahap 1 dan berdarah tinggi, makanan apakah yang sesuai untuk saya amalkan?

Untuk pesakit buah pinggang kronik tahap 1, makan secara sihat dan seimbang adalah memadai tanpa pembatasan makanan yang tegas diperlukan. Pada tahap ini, pengawalan faktor risiko penyakit buah pinggang seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis adalah sangat penting untuk melambatkan kerosakan buah pinggang.

Diet rendah garam dan tinggi serat adalah disarankan. Anda adalah dinasihatkan untuk mengurangkan penggunaan garam (termasuk kicap, sos tiram, MSG dan sebagainya) dalam masakan di samping menghadkan pengambilan makanan yang masin seperti ikan masin, keropok, belacan dan lain-lain lagi.

Selain itu, anda adalah disarankan untuk mengambil 2 hidangan buah-buahan dan sekurang-kurangnya 1 ½ cawan sayur-sayuran masak setiap hari untuk meningkatkan pengambilan serat. Makanan yang bergandum adalah pilihan yang bijak kerana kandungan serat yang tinggi.

Klik di sini untuk melihat resipi dan tip pemakanan yang disyorkan oleh pakar diet renal untuk pesakit buah pinggang kronik.

-Lau Wai Pooi
Pegawai Dietetik
Diterbitkan pada Mac 31, 2014

Bolehkah saya minum kopi jika saya pesakit buah pinggang kronik tahap 1 dan berdarah tinggi?

Tiada bukti menunjukkan kopi memudaratkan buah pinggang; minum secawan kopi sehari biasanya tidak menyebabkan sebarang masalah. Seperti minuman manis yang lain, minum kopi secara keterlaluan akan menyebabkan pengambilan tenaga yang berlebihan kerana penyediaan kopi biasanya memerlukan gula, susu pekat manis atau krimmer yang dikategori sebagai makanan yang bertenaga tinggi tetapi kurang berkhasiat.

-Lau Wai Pooi
Pegawai Dietetik
Diterbitkan pada Mac 31, 2014

Berpeluangkah saya boleh mengandung jika saya pesakit buah pinggang kronik tahap 1?

Tiada bukti menunjukkan bahawa pesakit CKD tahap 1 tidak boleh mengandung. Anda adalah dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat daripada doktor sekiranya berancang untuk mengandung.

-Lau Wai Pooi
Pegawai Dietetik
Diterbitkan pada Mac 31, 2014

Berapa liter air yang boleh saya diambil sehari untuk menjaga dan melambatkan kerosakan ginjal.

Tiada pembatasan dalam pengambilan air harian kecuali anda mengalami masalah bengkak air sahaja.

-Lau Wai Pooi
Pegawai Dietetik
Diterbitkan pada Mac 31, 2014

Adakah pengamalan senaman yang sihat boleh melambatkan kerosakan ginjal?

Sebagai cara hidup yang sihat, anda adalah digalakkan untuk bersenam selalu. Anda adalah dinasihatkan untuk bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari, 5 kali seminggu.

Aktiviti fizikal yang dilakukan dalam kehidupan harian seperti mambuat kerja rumah dan semasa bekerja adalah tidak dikira sebagai senaman. Anda digalakkan supaya meluangkan masa untuk membuat senaman yang disukai seperti berenang, berjoging, berbasikal dan sebagainya.

-Lau Wai Pooi
Pegawai Dietetik
Diterbitkan pada Mac 31, 2014

Bolehkah saya mendermakan buah pinggang kepada suami saya semasa saya mengandung? Adakah proses itu dapat dilakukan atau terpaksa menunggu kandungan dilahirkan?

Pemindahan buah pinggang merupakan pilihan rawatan yang paling optimum untuk pesakit yang menghidapi kegagalan buah pinggang peringkat akhir, terutamanya untuk pesakit yang masih muda.Ini adalah kerana pemindahan buah pinggang dapat memberi kuantiti dan kualiti kehidupan yang lebih baik berbanding dengan rawatan dialysis.

Walaubagaimanapun oleh kerana Puan sekarang sedang mengandung, Puan tidak dapat menjadi penderma buah pinggang sehingga anak dilahirkan. Sementara ini , doctor-doctor yang menjaga suami Puan akan membantu mencari rawatan dialysis untuk beliau dan boleh membantu menjalankan penilaian bakal penderma lain sekiranya ada. Berbincanglah dengan mereka supaya dapat memperolehi lebih banyak maklumat, dan juga boleh dirujuk kepada unit pemindahan buah pinggang (ginjal) untuk kaunselling dan memulakan penilaian awal.

-Dr. Sunita Bavanandan
Pakar Nefrologi

Hi, boleh saya tahu kos purata melaksanakan Dialisis peritoneal (PD) di Malaysia? Apakah tempat untuk melakukan PD? Terima kasih.

Dialisis peritoneal (PD) adalah satu jenis terapi yang boleh dilakukan di rumah atau di mana-mana bilik bersih atau kawasan yang sesuai. Sebelum pesakit atau penjaga/pembantu pesakit mampu untuk menjalankan terapi PD di rumah, mereka akan perlu menjalani latihan yang disediakan oleh jururawat PD. Latihan biasanya akan dilakukan di hospital dan tempoh latihan boleh mengambil masa dari 3 hingga 5 hari. Setelah latihan selesai, pesakit dan / atau penjaga/pembantu akan dibenarkan untuk melakukan sendiri terapi di rumah dan hanya akan perlu untuk berjumpa jururawat PD dan Nefrologi semasa jadual rutin mereka untuk pemeriksaan.

Bekalan cecair dan keperluan sampingan lain PD diperlukan untuk melakukan terapi PD yang mana dibekalkan secara pakej bulanan. Kos sebulan boleh bermula daripada RM2, 600 kepada RM6, 000. Pelbagai faktor yang mempengaruhi kos adalah jenis terapi PD (Berterusan Ambulatori Peritoneal Dialisis CAPD atau Automatik Peritoneal Dialisis-APD) dan jenis bekalan cecair PD yang diperlukan berdasarkan preskripsi daripada doktor. Di bawah pakej bulanan ini, bekalan penuh dan barangan tambahan akan dihantar terus ke rumah pesakit sebulan sekali.

Buat masa sekarang, Kos untuk terapi PD boleh dibiayai oleh pelbagai agensi untuk ahli / pekerja mereka, seperti SOCSO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), Jabatan Perkhidmatan Awam, dan lain lain. PD terapi juga boleh didapati melalui hospital kerajaan dan pesakit PD di hospital-hospital hanya perlu untuk membayar jumlah minimum setiap bulan. Sila berunding dengan Nefrologi anda berkenaan terapi PD anda dan pasukan PD di hospital boleh menasihati anda tentang pelbagai perkara berkenaan terapi PD meliputi kos terapi anda juga.

Saya adalah isteri kepada pesakit dialysis. Saya akan mendermakan buah pinggang kepada suami saya. Saya telah menjalani ujian dan lulus kesemuanya, dan dijangka akan menjalani pembedahan pada awal tahun hadapan. Saya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit ini sebagaimana saya akan dianggap sebagai pesakit CKD apabila saya hidup dengan satu buah pinggang sahaja.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada puan yang ingin menjadi penderma organ.

Apabila puan mendermakan buah pinggan puan, ia tidak akan mengubah atau memberi kesan yang besar kepada cara hidup puan. Tiada mana-mana bukti/rujukan yang mengatakan cara hidup akan berubah dan ia tidak akan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit buah pinggang kepada buah pinggang yang satu lagi. Malah, ada sesetengah manusia yang dilahirkan dengan hanya memiliki satu buah pinggang sahaja dan mereka hidup seperti manusia biasa.

Apabila puan sembuh dari pembedahan tersebut, doktor akan menasihatkan puan untuk melakukan rawatan susulan. Puan akan dipantau untuk melihat tekanan darah, pemeriksaan darah(untuk mengetahui fungsi buah pinggang, kadar gula dalam darah, kadar kolesterol dan sebagainya) dan ujian air kencing untuk mengetahui jika ada kehadiran protein atau sel darah dalam air kencing puan. Ini adalah untuk memastikan puan kekal sehat dan tiada penyakit lain selepas menjalani pembedahan tersebut.

Tidak perlu risau, kerana doktor puan akan sentiasa memantau dan menasihati puan untuk sebarang masalah yang puan hadapi selepas puan mendermakan buah pinggang.

- Dr Lily Mushahar
Panel Pendidikan Kesihatan Buah Pinggang
Diterbitkan pada November 19, 2012

Apakah nasihat anda kepada mereka yang menghidapi kegagalan buah pinggang?

Apabila anda disahkan menghidapi kegagalan renal (buah pinggang), walaupun anda akan merasa marah, sedih dan kecewa, cubalah hadapi ia dengan tenang di peringkat awal. Banyak perkara baru yang perlu anda rancang di minda dan ini termasuk perubahan gaya hidup baru. Hidup anda kini lebih berkisar kepada rawatan yang membabitkan pelbagai sessi dialisis. Tambahan pula, jadual, diet, masa lapang, perbelanjaan dan segala-galanya perlu diambil kira demi rawatan dan jadual dialisis anda.

Juga, pesakit perlu dapatkan pendapat kedua tentang diagnosis mereka. Mereka tidak boleh begitu berharap bahawa buah pinggang mereka akan pulih seperti yang diharap ramai pesakit yang saya temui. Mereka akan diberi/mendapat pelbagai pilihan sebelum mereka menerima keadaan mereka. Mereka perlu sedar dengan melengahkan proses rawatan hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Ingatlah pilihan rawatan yang terkini telah ada sekarang. Tidak mustahil dengan perubahan, pesakit mampu menjalani kehidupan seperti biasa walaupan melakukan dialisis. Pesakit akan mendapat faedah dengan sikap yang positif.

- Dato' Dr Zaki Morad
Pakar Perunding Nefrologi

Adakah penyakit buah pinggang lebih menular di Malaysia dari negara lain?

Ia bukan persoalan sama ada penyakit buah pinggang kerap dihidapi penduduk Malaysia berbanding penduduk negara lain. Cuma kami lebih mudah mengesan penyakit ini dengan berkesan berbanding dahulu. Kita juga mempunyai kemudahan dan maklumat yang terbaik untuk rawatan.

Namun diabetes adalah punca utama kegagalan buah pinggang yang kerap terjadi di negara ini dan mengambarkan ia tidak dirawat dengan baik di sini. Kemungkinan gaya hidup yang diamalkan membuatkan penyakit buah pinggang adalah lebih teruk dari penyakit kardiovaskular – ini termasuk obesiti, merokok, kurang bersenam dan gaya pemakanan.

Penyakit buah pinggang, hipertensi dan diabetes merupakan pembunuh senyap. Ia memerlukan komitmen pesakit untuk menjalani pemeriksaan kerap dan pengambilan ubat yang berjadual kerana pada fizikal, pesakit mungkin nampak sihat.

Ramai penduduk Malaysia mengambil ringan akan hal kesihatan kereka. Walaupun kerajaan ada menyediakan khidmat penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampu pergi, tidak ramai yang mengambil inisiatif ini. Namun angka ini berbeza dari mereka yang datang dari bidang pakar dan profesional yang berpendidikan tinggi.

Dilaporkan juga peningkatan orang ramai yang mencuba pilihan rawatan alternatif dan tradisional yang tidak diiktiraf atau terbukti berkesan. Penjualan langsung, akuan tidak diiktiraf dan iklan yang meluas tanpa bantahan umum menyumbang kepada keadaan ini. Kajian menunjukkan pengambilan pil tahan sakit akan merosakkan buah pinggang namun mengapa masih ramai yang mengambilnya secara berlebihan setiap hari?

- Dato' Dr Zaki Morad
Pakar Perunding Nefrologi

Apakah jenis sokongan yang ada buat pesakit dan juga keluarga mereka dalam mengharungi penyakit buah pinggang?

Apabila anda mempunyai masalah buah pinggang dan perlu menjalani dialisis, ini merupakan pengalaman menakutkan bagi ramai orang dan kebanyakan mereka melalui pelbagai fasa iaitu rasa sedih dan murung. Di Hospital Kuala Lumpur, sokongan ada diberikan kepada pesakit baru yang cuba menyesuaikan diri dengan diagnosis kegagalan buah pinggang peringkat akhir dan realitinya mereka perlu selalu menjalani rawatan dialisis. Kami mempunyai pekerja sosial yang menawarkan khidmat nasihat dan jika perlu, pakar sakit jiwa demi kesesuaian kehendak pesakit.

Juga, sokongan diberi kepada pesakit yang sedang menjalani terapi gantian renal (RRT), dan juga pada mereka yang kemurungan dengan keadaan mereka. Pekerja bahagian dialisis mungkin tiada kepakaran nasihat namun mereka yang berpengalaman dapat memberi sokongan dan dijadikan sumber galakan buat pesakit.

Satu lagi sumber bernilai buat pesakit baru adalah pesakit ‘veteran’ yang melalui ranjau yang sama. Pengalaman dan perkongsian bersama nasihat tidak formal mungkin akan menawarkan kelegaan dan persahabatan. Ini semua diambil kira sebagai perubahan muktamad dalam kehidupan pesakit.

- Dato' Dr Zaki Morad
Pakar Perunding Nefrologi

Apakah yang perlu dilakukan jika pembedahan fistula tidak berjaya, pesakit juga mengalami lelah, penat dan kadangkala terketar-ketar semasa memakai catheter?

Menjalani hemodialisis dengan menggunakan fistula adalah rawatan yang paling optimum bagi pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang kekal. Walau bagaimanapun, terdapat juga golongan pesakit yang mengalami masalah atau kerumitan untuk mengakses fistula terutamanya bagi pesakit diabetis.

Ini menyebabkan golongan pesakit ini perlu menggunakan kateter untuk jangka masa panjang atau sepanjang hayat sebagai akses dialisis. Menggunakan kateter untuk jangka masa panjang tidak digalakkan KECUALI ianya tidak boleh dielakkan, memandangkan pesakit berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kuman (demam, menggigil, dsb) dan mengalami saluran darah yang tersumbat. Pakar nefrologi atau pakar vaskular akan menasihatkan pesakit supaya menukar cara rawatan kepada dialisis peritoneum jika berlaku masalah untuk mengakses dialisis/fistula. Rawatan peritoneal dialisis ini boleh dilakukan di rumah.

Kita menasihatkan pesakit berjumpa Pakar Nefrologi di hospital kerajaan terdekat untuk mendapat rawatan dan konsultasi yang lebih teliti.

- Dr Lily Mushahar
Pakar Nefrologi